top of page
  • Writer's pictureKerk Chee Yee

PERSIDANGAN 1 HARI


Persidangan Dewan Melaka (sidang khas untuk Belanjawan 2022 Melaka) pada asalnya dijadualkan berlangsung selama 4 hari.


Sehari sebelum persidangan bermula, para ADUN diberi notis bahawa tempoh persidangan akan dipendekkan kepada 1 hari sahaja. Ini kemudian dijelaskan oleh pihak kerajaan dalam persidangan bahawa ada anggota DUN yang disahkan positif atau merupakan kontak rapat.


Sepanjang tahun 2021, hanya 1 sesi persidangan yang telah diadakan, dan EXCO Kesihatan hanya berdiri menjawab 1 soalan sahaja. Kali ini, tiada sesi soal jawab.


Bayangkan, dalam krisis pandemik, EXCO Kesihatan hanya jawab 1 soalan dalam 1 tahun.


Dalam perbahasan, saya telah mengatakan bahawa SOP yang dikenakan, termasuk ujian PCR yang dijalankan ke atas semua ADUN dan anggota dewan, seharusnya bertujuan untuk memastikan persidangan boleh dijalankan dengan lancar dan tidak terganggu.


Institusi legislatif tertinggi di peringkat negeri harus dipertahankan dan diberi keutamaan, khususnya dalam tempoh ini di mana isu-isu rakyat perlu diberi tumpuan oleh kerajaan dan perlu dibahaskan dalam Dewan.


Saya juga mengatakan bahawa pemendekan jadual sesi persidangan menunjukkan bahawa kerajaan Melaka tidak bersedia untuk menangani Covid19.


Kenyataan saya tidak disambut baik oleh pihak kerajaan.


Antaranya, EXCO Kesihatan yang baru (Merlimau) telah bangkit dan cuba mempertahankan tindakan pemendekan sesi persidangan ini dengan memberi justifikasi bahawa ini untuk memastikan keselamatan anggota Dewan.

Betul, keselamatan wajib diutamakan. Namun, argument beliau merupakan argument yang salah kerana persoalannya bukan keselamatan, tetapi kenapa kerajaan tidak mengambil tindakan untuk memelihara kepentingan rakyat dan mempertahankan institusi legislatif.


Langkah-langkah wajib diambil untuk memastikan tiada kompromi ke atas mekanisme dan institusi legislatif kita. Antara langkah yang boleh dikaji oleh kerajaan termasuk menganjurkan sesi persidangan atas talian (online) atau secara hibrid.


Kini kita dalam fasa endemik dan kes positif Covid19 dijangka akan kekal wujud bagi suatu tempoh masa lagi. Kalau setiap kali kes positif dikesan kerajaan perlu memendekkan sesi persidangan, ini hanya menunjukkan kerajaan kurang berkemampuan dalam menangani Covid19 sehingga institusi legislatif negeri dikompromikan.


Sudah hampir 2 tahun negara kita dilanda pandemik. Kerajaan negeri Melaka perlu mula berfikir dan berhenti memberi alasan seperti yang diberikan oleh EXCO Kesihatan.



28 December 2021



71 views0 comments
bottom of page