top of page
  • Writer's pictureKerk Chee Yee

#Belanjawan2021 - KPI ke atas GLC negeri Melaka hanya retorik?

Dalam Belanjawan 2021 Negeri Melaka yang telah dibentangkan semalam (9 Disember 2020), Ketua Menteri Melaka telah mensasarkan KPI kepada anak-anak syarikat negeri Melaka (“GLC”) seperti berikut:


1) - Peningkatan keuntungan 20% setiap tahun;


2) - Mencari rakan kongsi baru untuk perniagaan dalam dan luar negara, sekurang-kurangnya 3 projek usahasama dalam masa 5 tahun;


3) - Memastikan agensi & anak syarikat mematuhi sumbangan 2% setahun daripada pendapatan syarikat kepada kerajaan negeri; dan


4) - Disenaraikan di Bursa Malaysia dalam masa 5 - 10 tahun yang akan datang.


Walaupun saya berpendapat bahawa sasaran-sasaran tersebut, khususnya 1 dan 4, adalah tidak realistik dan tidak adil sekiranya KPI tersebut dilaksanakan ke atas semua agensi serta GLC, tetapi saya secara dasarnya mengalu-alukan tindakan kerajaan negeri Melaka mengenakan KPI atas GLC.


Sekiranya kerajaan negeri Melaka bersikap serius dalam mensasarkan GLC negeri Melaka disenaraikan di Bursa Malaysia, kerajaan negeri perlu memastikan bahawa bukan sahaja aspek keuntungan GLC dipentingkan, tetapi ketelusan, keberlangsungan, serta integriti pengurusan turut diutamakan.


Antara perkara yang perlu dijelaskan oleh kerajaan negeri Melaka ialah kes pengambilan balik 2 orang pekerja di Melaka ICT Holding Sdn Bhd (“MICTH”) selepas 2 orang pekerja tersebut telah digantung tugas dan kemudian ditamatkan kontrak. Perkara ini telah dilaporkan dalam media sekitar bulan Mei 2020 (rujuk pautan di bawah) tetapi sehingga sekarang tidak ada balasan daripada mana-mana pihak kerajaan negeri Melaka.


Saya ingin menegaskan bahawa kes tersebut berkaitan dengan “17 baucar pembayaran melebihi had pengurus akaun dengan jumlah nilai RM0.83 juta, manakala 6 pembayaran dibuat tanpa kelulusan dengan jumlah RM0.5 juta”, seperti yang dilaporkan dalam media.


Siasatan melalui ‘domestic inquiry’ telah disiapkan ke atas salah seorang pekerja tersebut dan hasil daripada laporan siasatan tersebut adalah terdapatnya ‘serious misconduct’ atau salahlaku yang serius’. Pengambilan balik 2 orang pekerja tersebut bertentangan dengan prinsip ketelusan dan integriti pengurusan.


Sekiranya kerajaan negeri Melaka tidak bersedia memberi penjelasan dan mengambil tindakan yang sewajar dalam kes yang menjejaskan integriti pengurusan kerajaan negeri, KPI ke atas GLC negeri Melaka yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 Negeri Melaka hanya retorik.


----Petikan daripada ucapan perbahasan Belanjawan 2021 Negeri Melaka oleh YB Kerk Chee Yee, ADUN Ayer Keroh, Melaka


Rujukan: PN Melaka didakwa sambung tugas 2 pegawai ‘bermasalah’ https://www.malaysiakini.com/news/527861


23 views0 comments
bottom of page