top of page
  • Kerk Chee Yee

Pencapaian 1 Tahun: Komunikasi & Multimedia


PENAMBAHBAIKAN TELEKOMUNIKASI (LIPUTAN SELULAR)

Melaka digelar sebagai salah satu negeri yang mempunyai penerimaan liputan paling buruk di Malaysia. Bagi menambahbaikkan liputan selular, pembinaan infrastruktur telekomunikasi yang cukup diperlukan.


Dari 2015 hingga 2017, lebih kurang 30 kawasan ditambahbaik melalui pembinaan infrastruktur telekomunikasi. Sebuah menara telekomunikasi juga boleh mengambil masa dari 6 hingga 9 bulan hanya untuk mendapatkan kelulusan dari semua agensi yang berkaitan.


Sejak saya mengambil alih jawatan ini, kami telah mengambil langkah:


• Membentuk sebuah Jawatankuasa Khas Infrastruktur Telekomunikasi bagi mengkaji proses kelulusan pembinaan infra telco


• Membenarkan tender terbuka supaya mana-mana pemilik industri yang berkemampuan mempunyai peluang untuk bekerjasama membangunkan infra telco


• Melaka juga merupakan negeri pertama di Malaysia untuk meletakkan kod QR pada menara telco supaya penduduk boleh menyemak status kebenaran pada struktur menara tersebut dan disertakan maklumat dan fakta mengenai tahap radiasi


​​Oleh yang demikian, sebanyak 10 infrastruktur telco telah dibina atau ditambahbaik dalam masa 10 bulan iaitu dari Mei 2018 hingga Mac 2019. Maknanya, liputan selular di 65 kawasan di Melaka telah ditambahbaik.


Proses mendapat kelulusan untuk pembinaan juga ditambahbaik dan mengambil jangka masa 3 hingga 4 bulan, andaian tiada komplikasi yang timbul. Dengan adanya pembangunan telekomunikasi yang mantap dan mencukupi, Melaka bakal menyediakan dan menyokong pembangunan teknologi baharu seperti Internet of Things (IoT), Big Data, Smart City, Cloud System, Artificial Intelligence of Things (AIoT) dan 5G pada masa hadapan.



PROJEK PERINTIS NFCP (PELAN GENTIAN OPTIK DAN KESALINGHUBUNGAN NEGARA) DI JASIN


“YB, kenapa Unifi belum ada lagi di taman saya?”


Inilah aduan yang sering saya terima selaku Exco Komunikasi dan Multimedia negeri Melaka. Sebenarnya, Unifi merupakan sejenis pembekal internet jalur lebar kelajuan tinggi (High Speed Broadband). Kos pemasangan yang tinggi, tiada perancangan awal yang baik, dan proses pemasangan yang lama adalah antara sebab perkhidmatan jalur lebar belum dibekalkan.


Projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal menyelesaikan masalah ini. NFCP menggunakan infrastruktur kepunyaan TNB yang sedia ada untuk menjalinkan rangkaian fiber dan memasang jalur lebar tanpa kos yang tinggi dan juga menjimatkan masa.


Dengan kerjasama TNB, kerajaan persekutuan serta pihak pejabat saya, projek perintis tersebut telah dilancarkan di daerah Jasin.


Projek ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan internet sebagai kemudahan asas yang boleh dinikmati rakyat jelata secara umumnya. Jika dilaksanakan di peringkat negeri atau kebangsaan pada masa hadapan, internet berkelajuan tinggi akan dibekalkan secara efisyen pada harga yang kepatutan kepada para pengguna termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar.



MELAKA ARTIFICIAL INTELLIGENCE OF THINGS (MAIoT)


Platform ini bertujuan melahirkan lebih ramai pelapis atau modal insan yang berkemahiran tinggi dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan objek rangkaian Internet (IoT) khususnya belia.


Peranan MAIoT:


- Memberi bimbingan kepada golongan yang berminat


- Menjadi pemudah cara agar idea yang dilahirkan dapat diketengahkan dan membantu mengubah sosial dan ekonomi negara dan masyarakat


- Mewujudkan ekosistem yang mapan dan berupaya menyokong kemajuan teknologi digital selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan negeri ini Smart City


MAIoT merupakan Kerjasama antara UTeM, MMU, MCMC, TM dan kerajaan negeri Melaka.



42 views0 comments
bottom of page